SITI ZAINON ISMAIL dilahirkan di Gombak pada 18 Disember 1949, penyair tanah air yang mempunyai riwayat yang panjang dalam bidang penulisan seni sastera, budaya dan akademik. Beliau merupakan lulusan Sekolah Menengah Aminuddin Baki (1964-1968). Di samping meminati penulisan, Siti Zainon Ismail berbakat sebagai pelukis dan pernah dididik oleh Idris Salam dan Naz Achnas. Oleh sebab cita-citanya membumbung tinggi, dalam usia 20 tahun, selepas Sijil Tinggi Pelajaran, beliau meneruskan pengajiannya di Yogyakarta, mengambil jurusan Seni Lukis di Akademi Seni Rupa Indonesia (ASRI). Beliau pernah berdampingan dengan pelukis terkenal Indonesia seperti Affandi dan lain-lain.
Siti Zainon Ismail mengibaratkan dirinya sebagai “pengembara yang tidak kenal lelah”, dia ialah cebisan mutiara yang sedikit demi sedikit menyatukan elemennya dalam perut tiram di samudera dalam. Dia tetap akan tampil dengan kelembutan dan jati diri Melayu, katanya. Dia seiringan dengan bakat seninya yang tiga dimensi; yakni seni lukis, busana (seni pakai memakai) dan kreativiti seni sastera. Dia bersatu dan bersebati secara estetika dan menyalurkan pemikiran yang berseni penuh dengan kesopanansantunan puteri Melayu. Citra seninya yang kreatif selalu menarik perhatian sarjana tempatan dan antarabangsa. Antaranya termasuklah A.Samad Said, Muhammad Haji Salleh, Kemala, Harry Aveling, Zakaria Ali dan Hashim Awang. Pada akhirnya, Siti Zainon Ismail berasa bahawa ketabahan dan kesabarannya menganyam seni , beliau dapat berseiringan dengan Muhammad Haji Salleh, A. Samad Said, Baha Zain, Ahmad Kamal Abdullah dan sasterawan berbobot yang lain.
Siti Zainon Ismail tampil dengan tiga buah novel, 10 kumpulan cerpen dan 10 antologi cerpen. Beliau sudah membuktikan bahawa dirinya sebagai penulis cerpen yang baik. Ada hubung kait yang utuh antara kerjayanya sebagai ilmuan, bidang seni dan budayanya. Hal ini diakui oleh Dr. Rosnah Baharuddin selepas mengkaji 37 buah cerita pendek Siti Zainon Ismail. Watak dan diri penulis saling mengimbangi, mencari peribadi dan erti kehadiran. Nada puitis selalu timbul di sana sini. Ceritanya menggamit pembaca untuk berfikir, bukan sebagai realism polos. Beliau membangkitkan keharuan dan keindahan yang segar dan baharu.




