Keris Mas atau nama sebenarnya ialah Kamaluddin Muhamad merupakan seorang Sasterawan Negara Malaysia 1981. Beliau merupakan seorang wartawan, editor, pentadbir sastera, sasterawan dan pengkritik. Dilahirkan di Kampung Ketari, Bentong, Pahang pada 10 Jun 1922. Beliau menerima pendidikan di Sekolah Melayu Bentong, Sekolah Tawalib di Sumatera iaitu sebuah sekolah menengah dengan pengantar bahasa Indonesia dan bahasa Arab. Seterusnya, beliau menyambung pelajaran di Kolej Kulliahtul Muallimin Al-Islamiah, Sumatera (Maktab Perguruan Islam). Kemudian, beliau melanjutkan pelajaran di Pitman College, Singapura (1940) untuk mengambil peperiksaan matrikulasi di Universiti London. Namun, pengajiannya terhalang kerana Perang Dunia Kedua meletus.
Novel beliau yang pertama ialah Pahlawan Rimba Malaya diterbitkan pada tahun 1976. Setahun kemudian, beliau menulis sebuah cerpen perjuangan "Darah dan Air Mata" telah tersiar dalam majalah Kenchana. Keris Mas adalah antara tokoh penting, malah tokoh yang memimpin Angkatan Sasterawan 50 atau ASAS 50 yang mendukung kuat faham “Seni untuk Masyarakat” dan turut memberi isi dan arah seperti terlihat dalam Memoranda ASAS 50 yang membentangkan cita-cita dan perjuangan pertubuhan itu.
Keris Mas telah menghasilkan kira-kira 60 buah cerpen yang mengemukakan berbagai-bagai persoalan, daripada soal cinta, kepincangan masyarakat, perjuangan kebangsaan, kisah darurat hinggalah kepada persoalan-persoalannya sosial-politik sesudah merdeka. Semua persoalan tersebut merupakan pemerhatian dan pantulan kembali pengalaman-pengalaman Keris Mas sejak tahun 1940-an hinggalah sesudah Tanah Melayu mencapai kemerdekaan dalam tahun 1957.
Antara penghargaan yang diberikan kepada beliau ialah dipilih sebagai penulis Tamu Dewan Bahasa dan Pustaka selama setahun (1 Julai 1977 - 30 September 1978). Pada tahun 1985-1986, beliau sekali lagi dilantik sebagai penulis Tamu DBP. Beliau turut menerima 'Anugerah Pejuang Sastera' dan membawa pulang RM10,000, watikah daripada Perdana Menteri Malaysia ketika itu, Tun Hussein Onn pada 29 Mei 1976. Perdana Menteri melantik beliau sebagai Setiausaha Panel Hadiah Karya Sastera (1971–1976), dan anggota Panel Anugerah Sastera Negara 1979. Beliau penerima Anugerah Sastera Negara yang pertama (1981). Selain itu, Keris Mas dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Persuratan oleh Universiti Sains Malaysia pada 5 Ogos 1989.
Demikianlah Keris Mas yang pada mulanya diharapkan oleh keluarganya untuk menjadi guru agama sebaliknya menjadi seorang sasterawan. Sebagai penulis kreatif pentadbir dan pengurus sastera, Keris Mas telah memberikan sumbangan yang penting dan bererti dalam perkembangan sastera Melayu baru.

No comments:
Post a Comment