Nama Usman Awang tidak asing lagi dalam dunia kesusasteraan tempatan. Usman lahir di Kampung Tanjung Lembu, Kuala Sedili, Kota Tinggi, Johor, pada 12 Julai 1929. Beliau diberi nama Wan Osman Wan Awang tetapi menukar nama penanya ke Usman Awang. Usman Awang mula membentuk namanya dalam dunia persuratan Melayu Moden dengan menulis sajak. Sajak-sajaknya sentiasa segar, kukuh serta akrab dengan akar budi Melayu dan perikemanusiaan. Beberapa buah sajaknya menjadi bahan yang amat menarik. Bukan sahaja di kalangan masyarakat terbanyak yang cintakan puisinya tetapi menjadi mainan bibir di kalangan anak-anak sekolah pada waktu itu dalam sebarang upacara mendeklamasi sajak. Antara sajaknya yang cukup popular adalah “Pak Utih”, “Ke Makam Bonda”, “Nasib Buruh”, “Bunga Popi”, “Gadis Di Kuburan”, dan “Salam Benua”.
Usman adalah antara penyair Melayu yang berhasil mengekalkan semangat dan harmoni pantun dalam puisi-puisinya walaupun dengan melonggarkan beberapa ikatan yang konvensional. Beliau menggunakan kata-kata biasa dalam penulisannya dan pintar menjalin kata-kata itu hingga menjadi begitu indah dan berkesan tanpa melemahkan makna yang hendak disampaikan. Inilah antara keistimewaan Usman Awang.
Usman Awang juga menulis cerpen tetapi bidang ini nampaknya sudah lama ditinggalkannya sejak akhir tahun 1960-an lagi. Cerpen yang banyak dihasilkan dalam tahun-tahun 1950-an dan 1960-an lebih banyak memperlihatkan sikap dan pegangannya yang lebih ketara terhadap konsep “Seni untuk Masyarakat” yang didukungnya sebagai anggota ASAS 50. Maka itu apa yang terlihat dalam cerpen-cerpennya hanyalah berupa rakaman pengalaman, pergaulan dan pemerhatian serta pemikiran untuk mendedahkan segala kejelikan dan keburukan serta kepincangan hidup dalam masyarakat Melayu khususnya. Dalam pada itu, beliau tidak juga terlepas daripada memperlihatkan pandangan seorang anak muda yang berjiwa romantis dan idealis. Degup Jantung adalah satu-satunya kumpulan cerpennya setakat ini.

No comments:
Post a Comment