Wednesday, 20 April 2022

BUKU: Salina

 



SINOPSIS

Novel ini mengisahkan penduduk di Kampung Kambing yang menjadi mangsa Perang Dunia Kedua. Antara penghuni yang tinggal di kampung ini ialah Siti Salina dan kekasihnya Abdul Fakar, Hilmy dan ibunya, Katijah yang telah uzur, Zarina, seorang janda serta anak tirinya iaitu Nahidah, Mansur dan Sunarto, anak angkat arwah bapa Nahidah, serta Haji Karman dan Razman sahabat Abdul Fakar. Tempat ini digelar Kampung Kambing kerana penduduk di kampung ini tinggal di kandang kambing yang disesuaikan sedikit dengan keperluan manusia sehingga dapat disewakan kepada penduduk miskin di Singapura. Pemberi sewanya ialah seorang lelaki india yang bernama Kurupaya Samy.


Novel ini menceritakan tentang seorang perempuan yang bernama Salina iaitu seorang pelacur yang menyara dan memelihara Abdul Fakar yang malas bekerja dan sering meminta duit daripada Salina untuk pergi berjoget dan minum arak. Abdul Fakar seorang yang suka mabuk, gila perempuan dan suka memukul Salina. Walaupun di pukul, Salina tetap menyayangi Abdul Fakar kerana wajah Abdul Fakar seiras dengan wajah arwah kekasihnya yang mati dalam peperangan iaitu Muhammad Yusuf. Salina asalnya adalah anak orang kaya. Walau bagaimanapun, selepas berlakunya perang dan keluarganya terkorban, dia terpaksa menjadi pelacur untuk menyara kehidupan seharian. Hilmy, seorang remaja yang masih bersekolah sering mendapat bantuan kewangan daripada Salina untuk membeli buku dan ubat untuk ibunya yang sering sakit. Bantuan ini dilakukan tanpa pengetahuan Abdul Fakar. Ibu Hilmy, Katijah, banyak menasihati Salina supaya menyimpan wang untuk masa depan kerana Abdul Fakar tidak boleh diharapkan.


Kisah dalam novel ini juga banyak menyentuh tentang Nahidah yang dipaksa oleh ibu tirinya untuk menjadi pelayan tanpa kemahuannya. Ini disebabkan Sunarto gagal memberikan wang perbelanjaan yang cukup kepada Zarina hasil daripada menarik beca. Walaupun Sunarto sering dihalau di hadapan penduduk kampung berkali-kali, Sunarto enggan keluar daripada rumah kerana dia tidak mahu meninggalkan Nahidah yang sering di usik oleh Abdul Fakar. Abdul Fakar pernah membuat perkara sumbang terhadap Nadihah. Namun, Salina tidak mengetahuinya, begitu juga dengan Zarina, ibu tiri Nahidah. Hilmy kemudiannya jatuh cinta terhadap Nahidah semasa dia mengikuti kursus latihan tentera. Mereka jatuh cinta apabila sering berbalas surat. Hilmy meminta Nahidah membacakan surat untuk ibunya kerana ibu Hilmy buta huruf.


Persahabatan antara Nahidah dan Hilmy tidak diketahui oleh sesiapa. Dalam masa yang sama, Abdul Fakar sering mengapi-apikan Zarina supaya menghalau Sunarto keluar dari rumah itu. Dengan itu, dia lebih mudah merapati Nahidah. Sunarto ialah satu-satunya batu penghalang kepada niat buruk Abdul Fakar terhadap Nahidah. Zarina yang termakan fitnah Abdul Fakar sering menghalau Sunarto dan Mansur. Zarina menghalau Mansur, abang Nahidah kerana dia tidak mempunyai sebarang pekerjaan walaupun puas mencari. Akhirnya, Mansur lari dan memasuki tentera. Tinggallah Nahidah seorang diri di rumah itu. Satu malam, Nahidah telah diculik oleh Abdul Fakar atas arahan Encik Salim seorang buaya darat yang gilakan Nahidah. Sebelum ini Nahidah telah banyak kali menolak permintaan Encik Salim untuk duduk dipangkuannya dan melayan dia.


Pada suatu hari Nahidah telah diperkosa oleh Abdul Fakar dan selepas itu dia sering mabuk kerana kekuatan mempertahankan maruahnya tidak ada lagi. Dia kemudiannya lari meninggalkan Singapura dan tidak berapa lama kemudian berkahwin dengan seorang buruh. Hilmy sedih kerana kehilangan Nahidah. Salina pula melarikan diri ke Kelantan untuk melupakan Abdul Fakar kerana Abdul Fakar telah menghalaunya keluar dari rumah sedangkan rumah itu adalah rumah Salina. Abdul Fakar gilakan seorang perempuan joget. Ibu Hilmy meninggal dunia akibat sakit. Hilmy pula tidak menyambung pelajaran kerana ketiadaan wang . Tidak lama kemudian, Hilmy cuba menjejaki Salina di Kuala Lumpur tapi diberitahu oleh Mansur yang Salina sudah pulang ke Singapura. Abdul Fakar belayar kembali kerana dia gagal mencari Salina. Dia baru mengetahui bahawa Salina betul-betul sayangkan dia setelah di tipu oleh perempuan joget. Hilmy kembali ke Singapura untuk bertemu Salina.



No comments:

Post a Comment