Tuesday, 31 May 2022

PENGARANG SASTERA: Datuk Dr Zurinah Hassan




 ZURINAH HASSAN dilahirkan pada 13 Jun 1949 di Bakar Bata, Alor Setar, Kedah. Beliau dibesarkan di Tikam Batu, Kedah, dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Tikam Batu (1956-1960) dan kemudiannya di Sekolah Inggeris Sungai Layar, iaitu melalui Special Malay Class (1961-1963). Zurinah Hassan meneruskan pelajaran peringkat menegah di Sekolah Convent Sungai Petani (1964-1966) dan Sekolah Menengah Sultanah Asma, Alor Setar, Kedah (1967-1970). Pada tahun 1971, Zurinah Hassan melanjutkan pelajaran ke Universiti Pulau Pinang (sekarang Universiti Sains Malaysia) dalam jurusan Ilmu Kemanusiaan dan mendapat Ijazah Sarjana Muda Sastera pada tahun 1974. Setelah bersara secara pilihan daripada perkhidmatan kerajaan,beliau melanjutkan pengajian Ijazah Sarjana di Universiti Putra Malaysia pada tahun 1998-2001. Seterusnya, beliau menyambung pelajaran ke peringkat kedoktoran di Akademi Pengajian Melayu,Universiti Malaya pada tahun 2003 dan berjaya memperoleh Ijazah Doktor Falsafah pada tahun 2008.

Zurinah Hassan mula menceburi bidang penulisan pada tahun 1963, iaitu sejak zaman persekolahannya. Penulisan yang bermula pada dekad 1960-an ini merupakan usaha gigih beliau yang berterusan sehingga kini. Dalam karya kreatifnya, dijalin pula kajian-kajian akademik dan muzik, yang penting dalam pertumbuhannya sebagai seorang penyair. Di samping itu, bidang akademik ini juga membantu memperluas dunia pengalamannya yang turut menyumbang kebaharuan, kerencaman dan warna asli kepada penulisannya.

Zurinah Hassan dianugerahkan Darjah Setia Diraja Kedah (DSDK) sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Kedah ke-86 pada 2014. Anugerah ini membawa gelaran Datuk. Beliau diumumkan sebagai tokoh Sasterawan Negara yang ke-13 pada 13 Oktober 2015. Pemilihan Zurinah itu dibuat berdasarkan sumbangan besarnya melalui karya dan pemikirannya terhadap pengembangan sastera serta impak dalam penyebaran ilmu.

Wednesday, 25 May 2022

BUKU: Hari-hari Terakhir Seorang Seniman

 


SINOPSIS

HARI-HARI TERAKHIR SEORANG SENIMAN bukanlah sebuah cerita biasa kerana dalam kehalusan ceritanya tersirat berbagai erti tentang masyarakat dan pengalaman tokoh seniman dalam zamannya. Tokoh seniman tersebut adalah seorang penglipurlara yang hidup sebelum dan sewaktu Perang Dunia Kedua. Novel ini berkisar pada kehidupan Pak Hassan, seorang tukang cerita, yang menghadapi saat-saat hidup yang memilukan. Zaman yang berubah mengancam kedudukan dan peranan pentingnya kerana masyarakat tidak lagi meminati seni yang diwarisi, terutama generasi muda, akibat dari perubahan nilai dan kemajuan material. Perasaan dan harapan Pak Hassan menjadi bertambah pahit apabila kepandaiannya itu tidak dapat dipindahkan kepada satu-satunya anak lelakinya yang cacat akal sejak kecil.

ULASAN

Cerita ini dimulakan dengan Pak Hassan yang pergi melawat kubur isterinya yang meninggal akibat tertinggal sebahagian tembuninya dalam perut selepas melahirkan Mat Junuh. Ia juga diceritakan imbas semula pada tujuh belas tahun lalu semasa Pak Hassan mula-mula sampai dikampung tersebut. Pada perkembangan cerita, Pak Hassan si tukang penglipur lara dikatakan semakin tidak dilupai oleh orang-orang kampong ditambah pula kedatangan tentera jepun yang semakin hampir dengan kampong mereka. Cerita ini semakin rumit apabila Mat Junuh tanpa disengajakan telah mengoyakkan kulit kepala Aziz, anak kepada Ramli semasa sedang bermain permainan lanun. Senah pula telah diperkosa oleh seorang lelaki yang memakai topeng ketika hendak mengambil air sembahyang di perigi. Klimaks novel ini apabila berlakunya pergolakan jiwa dialami oleh Pak Hassan selepas kedua-dua anaknya iaitu Senah dan Mat Jusuh melarikan diri daripadanya. Kehilangan mereka membuatkan kehidupan Pak Hassan murung, sedih dan dilanda kekecewaan. Ternyata, ia amat menggangu dan menguji keimanannya untuk redha dengan ketentuan-Nya. Cerita ini berakhir apabila mayat Pak Hassan dijumpai telah mengembang oleh Paman Bahari ketika sedang memeriksa kebunnya.

Di dalam novel ini, penulis menggunakan kata-kata yang tepat dan sesuai dengan tema dan persoalan novel. Selain itu, terdapatnya banyak penggunaan monolog di dalam novel ini seperti “Kami kesepian di sini, tetapi itulah yang telah disuratkan oleh Allah, dan kami menerimanya dengan setia,”. Tambahan pula terdapat banyak  penggunaan kata kata  istana walhal dan shahadan. Perkataan jepun juga sering digunakan seperti Rajio dan kaciro wa rajio o motte iru hito dare desuka?

Antara nilai yang terdapat dalam novel ini adalah kegigihan dan keberanian berdepan dengan dugaan. Pak Hassan tetap menjalani kehidupan sebagai seorang pencerita walaupun peminatnya semakin berkurang. Seterusnya, nilai yang lain adalah kasih sayang sesama manusia Pak Hassan sayang terhadap anaknya . dia tidak pernah keluar negeri untuk berpisah dengan anaknya. Di samping itu, kerjasama adalah nilai yang seterunya. Orang kampong bergotong-royong membina petempatan untuk Pak Hassan pada tujuh belas tahun lepas.

Thursday, 19 May 2022

PENGARANG SASTERA: A. Samad Said



Abdul Samad Muhammad Said (lahir 9 April 1935) ialah seorang penulis dan penyair Malaysia. Pada Mei 1976, beliau dinamakan oleh komuniti kesusasteraan Malaysia dan banyak ahli bahasa negara sebagai Pejuang Sastera dalam dekad berikut, di Anugerah Penulis S.E.A. 1976 dan, pada tahun 1986, sebagai penghargaan tulisan dan sumbangan berterusannya kepada warisan sastera negara, atau Kesusasteraan Melayu, Sasterawan Negara. 

Kejayaan A. Samad Said sebagai sasterawan ialah hasil daripada pengalamannya dan berkat kerajinannya membaca karya-karya orang lain.  Dalam karya Samad kita melihat ketelitian dan kecermatannya sebagai pengarang.  Beliau bukan sahaja begitu cermat dan teliti menghadapi dan membentuk watak-watak, tetapi juga terhadap alam, benda hidup dan mati, yang menjadi latar ceritanya.  

Antara karya besar yang dihasilkan ialah Salina, Sungai Mengalir Lesu, Di Hadapan Pulau, Langit Petang, Hujan Pagi, Lantai T.Pinkie, Benih Semalu, Benih Harapan, Warkah Eropah, Al-Amin, Rindu Ibu dan lain-lain lagi. Karya beliau Salina telah diterjemahkan ke dalam lain-lain bahasa seperti bahasa Inggeris dan bahasa Perancis. Beberapa karya beliau juga telah diadaptasi menjadi teater atau drama pentas seperti Salina, Sungai Mengalir Lesu, Lantai T.Pinkie dan Memori di Hadapan Pulau. Keunikan, keistimewaan dan keikhlasan SN Datuk A.Samad Said berkarya sewajarnya menjadi model dan sumber inspirasi berkarya bagi generasi penulis muda masa kini.

 

Pencapaian dan sumbangan Samad Said dalam memperkaya dan meninggikan nilai kesusasteraan Melayu telah mendapat penghargaan pemerintah apabila pada 29 Mei 1976, bersama-sama beberapa pengarang lain, beliau diiktiraf sebagai Pejuang Sastera.  Tahun 1979, juga turut memberi erti kepada Samad, apabila beliau dilantik oleh Perdana Menteri sebagai salah seorang anggota panel Anugerah Sastera dan dalam tahun yang sama, beliau telah dipilih menerima Hadiah Penulisan Asia Tenggara (S.E.A. Write Awards).  Kemuncak pencapaian Samad sebagai sasterawan ialah apabila beliau dinobatkan sebagai Sasterawan Negara 1985.  Dalam majlis penganugerahan itu, telah dipentaskan sedutan drama terbaru A. Samad Said berjudul Wira Bukit.  Dalam tahun 1993, A. Samad Said menerima Anugerah ASEAN         1993 (Kategori Sastera) daripada Negara Brunei Darulsalam.

Wednesday, 11 May 2022

BUKU: Sukma Angin

 


SINOPSIS

Sukma Angin bukan sekadar riwayat sebuah kapal. Ia merakamkan keagungan bangsa Melayu dalam ritual, ilmu serta seni pertukangan, pelayaran dan perniagaan maritim. Sasterawan Negara Arena Wati dalam novel ini mengimbas keagungan lampau itu dalam hubungan Sukma Angin sebagi "kapal dagang Melayu tradisional yang terakhir". Oleh itu, novel ini meninggalkan kesan nostagia, juga rasa benci terhadap penjajah yang berhasrat untuk melumpuhkan penguasaan maritim bangsa Melayu di rantau ini. Dunia protagonis novel ini ialah dunia Melayu dan Eropah, watak yang mengerti akan agama dan budayanya, serta prihatin terhadap perjuangan kemerdekaan yang dijalin dengan begitu terperinci, indah lagi dramatik. Cakupan pemikirannya amat memikat, sehinggakan apabila protagonis saudera bernama Sukma Angin berganding dengan pelaut telah berhasil mengapungkan suatu renungan seni dan intelektual tentang budaya, sejarah dan falsafah yang segar.

Dalam kesusasteraan Melayu moden belum ada pengarang yang boleh menandingi Arena Wati dalam menggambarkan dan menghidangkan dunia pelaut sebagai cereka. Kearifan pengarang mengeksplotasi ilmu maritim ke dalam cereka menjadikan novel ini menarik dan wajar dibaca serta dihayati oleh pembaca daripada pelbagai latar belakang kehidupan.

ULASAN

Di dalam novel ini, SN Arenawati menjelaskan setiap satu komponen kapal layar, baik dari segi pemilihan kayunya sewaktu pembinaan, lubang dan sambungan kapal sewaktu pemasangan kapal layar, tiang layar dan kedudukan tertentu kapal layar sewaktu kapal ini berada di lautan dan peranan dan jiwa krew Sukma Angin sewaktu menghadapi masalah-masalah sewaktu pelayaran. Selain itu juga, SN Arenawati juga menukilkan bagaimana corak budaya masyarakat Asia Tenggara yang berada di bawah cengkaman penjajah, Belanda dan Inggeris dan kepintaran penduduk tempatan dalam menangani kerenah penjajah yang menjarah harta dan khazanah tanah air. 

Selain itu, cerita yang berlatarkan pelayaran Sukma Angin, seolah-olah membawa pembaca untuk ikut sama mengunjungi pelabuhan demi pelabuhan – dari Makasar, Sulawesi, singgah sebentar di Singapura dan Johor, melencong sekali ke Perth, Australia, sebelum meneruskan pelayaran hingga ke Durban, Afrika Selatan.

Penggunaan bahasa yang ringkas, namun masih tegar semangat kemelayuannya, menjadikan novel ini memerlukan kesabaran sebelum pembaca menemui inti yang mengikat, supaya selesai membaca novel ini sampai ke hujung. Gaya penyampaian dan ilmu yang dikongsi pengarang mampu menghidupkan semangat kebangsaan di samping meningkatkan jati diri, sebagai seorang Melayu Islam.



Friday, 6 May 2022

BUKU: Sungai Mengalir Lesu

 


Sinopsis

SUNGAI MENGALIR LESU mengisahkan kehidupan di sebuah kampung di tepi sebuah sungai di Singapura semasa pendudukan Jepun. Kisahnya penuh tragedi, penyeksaan, kebuluran, kemelaratan dan maut. Di satu pihak, Jepun mengancam mereka dengan pedang dan senapang, sementara di pihak lain Inggeris mengancam mereka dengan serangan bom dari kapal terbang. Bagaimanapun, untuk terus hidup, penduduk kampung perlu berusaha. Desakan untuk hidup membuat anak-anak mencari rezeki di dalam sungai yang kotor, orang muda menjadi penyamun dan gadis-gadis menjadi pelacur.

SUNGAI MENGALIR LESU adalah antara segelintir karya sastera yang sempat merakamkan satu fasa dekad terpenting dalam kehidupan bangsa kita. Pengalaman getir kehidupan sekumpulan manusia di sepanjang sebatang sungai turut menjadi lambang kesengsaraan umum rakyat Malaya pada zaman Perang Dunia Kedua. Kisah lara sekumpulan insan ini menunjukkan betapa durjananya kesan dan bencana perang terhadap manusia, dan betapa wajarnya kita menghindarinya daripada berulang semula. Di samping sebuah karya sastera, SUNGAI MENGALIR LESU juga sebenarnya adalah satu himpunan dokumentasi sejarah sosial yang amat berharga.

Ulasan

SUNGAI MENGALIR LESU bukanlah sebuah kisah sungai semata-mata, akan tetapi sebuah sungai yang telah banyak memakan jiwa dan nyawa manusia akibat kesempitan hidup dan pelbagai lagi kisah hidup yang mencengkam jiwa mereka. Buku ini tidaklah begitu susah untuk difahami memandangkan terdapat banyak penggunaan kata atau bahasa yang digunakan A. Samad Said yang jarang sekali untuk didengari. Melalui buku ini, A. Samad Said berjaya menggambarkan sebahagian keluarga yang menderita dalam setiap bab kemudian dikaitkan pula setiap satu keluarga dengan mereka yang lain supaya pembaca faham yang mereka ini tinggal sekampung dan saling mengenali cuma berbeza kisah mengikut penceritaan yang digambarkan oleh beliau. Buku ini banyak memberikan tauladan dan pengajaran yang dapat dipelajari oleh manusia masa kini yang dilihat lebih maju dan senang.