Friday, 6 May 2022

BUKU: Sungai Mengalir Lesu

 


Sinopsis

SUNGAI MENGALIR LESU mengisahkan kehidupan di sebuah kampung di tepi sebuah sungai di Singapura semasa pendudukan Jepun. Kisahnya penuh tragedi, penyeksaan, kebuluran, kemelaratan dan maut. Di satu pihak, Jepun mengancam mereka dengan pedang dan senapang, sementara di pihak lain Inggeris mengancam mereka dengan serangan bom dari kapal terbang. Bagaimanapun, untuk terus hidup, penduduk kampung perlu berusaha. Desakan untuk hidup membuat anak-anak mencari rezeki di dalam sungai yang kotor, orang muda menjadi penyamun dan gadis-gadis menjadi pelacur.

SUNGAI MENGALIR LESU adalah antara segelintir karya sastera yang sempat merakamkan satu fasa dekad terpenting dalam kehidupan bangsa kita. Pengalaman getir kehidupan sekumpulan manusia di sepanjang sebatang sungai turut menjadi lambang kesengsaraan umum rakyat Malaya pada zaman Perang Dunia Kedua. Kisah lara sekumpulan insan ini menunjukkan betapa durjananya kesan dan bencana perang terhadap manusia, dan betapa wajarnya kita menghindarinya daripada berulang semula. Di samping sebuah karya sastera, SUNGAI MENGALIR LESU juga sebenarnya adalah satu himpunan dokumentasi sejarah sosial yang amat berharga.

Ulasan

SUNGAI MENGALIR LESU bukanlah sebuah kisah sungai semata-mata, akan tetapi sebuah sungai yang telah banyak memakan jiwa dan nyawa manusia akibat kesempitan hidup dan pelbagai lagi kisah hidup yang mencengkam jiwa mereka. Buku ini tidaklah begitu susah untuk difahami memandangkan terdapat banyak penggunaan kata atau bahasa yang digunakan A. Samad Said yang jarang sekali untuk didengari. Melalui buku ini, A. Samad Said berjaya menggambarkan sebahagian keluarga yang menderita dalam setiap bab kemudian dikaitkan pula setiap satu keluarga dengan mereka yang lain supaya pembaca faham yang mereka ini tinggal sekampung dan saling mengenali cuma berbeza kisah mengikut penceritaan yang digambarkan oleh beliau. Buku ini banyak memberikan tauladan dan pengajaran yang dapat dipelajari oleh manusia masa kini yang dilihat lebih maju dan senang. 

No comments:

Post a Comment