.jpg)
ZURINAH HASSAN dilahirkan pada 13 Jun 1949 di Bakar Bata, Alor Setar, Kedah. Beliau dibesarkan di Tikam Batu, Kedah, dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Tikam Batu (1956-1960) dan kemudiannya di Sekolah Inggeris Sungai Layar, iaitu melalui Special Malay Class (1961-1963). Zurinah Hassan meneruskan pelajaran peringkat menegah di Sekolah Convent Sungai Petani (1964-1966) dan Sekolah Menengah Sultanah Asma, Alor Setar, Kedah (1967-1970). Pada tahun 1971, Zurinah Hassan melanjutkan pelajaran ke Universiti Pulau Pinang (sekarang Universiti Sains Malaysia) dalam jurusan Ilmu Kemanusiaan dan mendapat Ijazah Sarjana Muda Sastera pada tahun 1974. Setelah bersara secara pilihan daripada perkhidmatan kerajaan,beliau melanjutkan pengajian Ijazah Sarjana di Universiti Putra Malaysia pada tahun 1998-2001. Seterusnya, beliau menyambung pelajaran ke peringkat kedoktoran di Akademi Pengajian Melayu,Universiti Malaya pada tahun 2003 dan berjaya memperoleh Ijazah Doktor Falsafah pada tahun 2008.
Zurinah Hassan mula menceburi bidang penulisan pada tahun 1963, iaitu sejak zaman persekolahannya. Penulisan yang bermula pada dekad 1960-an ini merupakan usaha gigih beliau yang berterusan sehingga kini. Dalam karya kreatifnya, dijalin pula kajian-kajian akademik dan muzik, yang penting dalam pertumbuhannya sebagai seorang penyair. Di samping itu, bidang akademik ini juga membantu memperluas dunia pengalamannya yang turut menyumbang kebaharuan, kerencaman dan warna asli kepada penulisannya.
Zurinah Hassan dianugerahkan Darjah Setia Diraja Kedah (DSDK) sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Kedah ke-86 pada 2014. Anugerah ini membawa gelaran Datuk. Beliau diumumkan sebagai tokoh Sasterawan Negara yang ke-13 pada 13 Oktober 2015. Pemilihan Zurinah itu dibuat berdasarkan sumbangan besarnya melalui karya dan pemikirannya terhadap pengembangan sastera serta impak dalam penyebaran ilmu.
No comments:
Post a Comment