Dalam kesusasteraan Melayu moden belum ada pengarang yang boleh menandingi Arena Wati dalam menggambarkan dan menghidangkan dunia pelaut sebagai cereka. Kearifan pengarang mengeksplotasi ilmu maritim ke dalam cereka menjadikan novel ini menarik dan wajar dibaca serta dihayati oleh pembaca daripada pelbagai latar belakang kehidupan.
ULASAN
Di dalam novel ini, SN Arenawati menjelaskan setiap satu komponen kapal layar, baik dari segi pemilihan kayunya sewaktu pembinaan, lubang dan sambungan kapal sewaktu pemasangan kapal layar, tiang layar dan kedudukan tertentu kapal layar sewaktu kapal ini berada di lautan dan peranan dan jiwa krew Sukma Angin sewaktu menghadapi masalah-masalah sewaktu pelayaran. Selain itu juga, SN Arenawati juga menukilkan bagaimana corak budaya masyarakat Asia Tenggara yang berada di bawah cengkaman penjajah, Belanda dan Inggeris dan kepintaran penduduk tempatan dalam menangani kerenah penjajah yang menjarah harta dan khazanah tanah air.
Selain itu, cerita yang berlatarkan pelayaran Sukma Angin, seolah-olah membawa pembaca untuk ikut sama mengunjungi pelabuhan demi pelabuhan – dari Makasar, Sulawesi, singgah sebentar di Singapura dan Johor, melencong sekali ke Perth, Australia, sebelum meneruskan pelayaran hingga ke Durban, Afrika Selatan.
Penggunaan bahasa yang ringkas, namun masih tegar semangat kemelayuannya, menjadikan novel ini memerlukan kesabaran sebelum pembaca menemui inti yang mengikat, supaya selesai membaca novel ini sampai ke hujung. Gaya penyampaian dan ilmu yang dikongsi pengarang mampu menghidupkan semangat kebangsaan di samping meningkatkan jati diri, sebagai seorang Melayu Islam.
.jpg)
No comments:
Post a Comment