Tuesday, 31 May 2022

PENGARANG SASTERA: Datuk Dr Zurinah Hassan




 ZURINAH HASSAN dilahirkan pada 13 Jun 1949 di Bakar Bata, Alor Setar, Kedah. Beliau dibesarkan di Tikam Batu, Kedah, dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Tikam Batu (1956-1960) dan kemudiannya di Sekolah Inggeris Sungai Layar, iaitu melalui Special Malay Class (1961-1963). Zurinah Hassan meneruskan pelajaran peringkat menegah di Sekolah Convent Sungai Petani (1964-1966) dan Sekolah Menengah Sultanah Asma, Alor Setar, Kedah (1967-1970). Pada tahun 1971, Zurinah Hassan melanjutkan pelajaran ke Universiti Pulau Pinang (sekarang Universiti Sains Malaysia) dalam jurusan Ilmu Kemanusiaan dan mendapat Ijazah Sarjana Muda Sastera pada tahun 1974. Setelah bersara secara pilihan daripada perkhidmatan kerajaan,beliau melanjutkan pengajian Ijazah Sarjana di Universiti Putra Malaysia pada tahun 1998-2001. Seterusnya, beliau menyambung pelajaran ke peringkat kedoktoran di Akademi Pengajian Melayu,Universiti Malaya pada tahun 2003 dan berjaya memperoleh Ijazah Doktor Falsafah pada tahun 2008.

Zurinah Hassan mula menceburi bidang penulisan pada tahun 1963, iaitu sejak zaman persekolahannya. Penulisan yang bermula pada dekad 1960-an ini merupakan usaha gigih beliau yang berterusan sehingga kini. Dalam karya kreatifnya, dijalin pula kajian-kajian akademik dan muzik, yang penting dalam pertumbuhannya sebagai seorang penyair. Di samping itu, bidang akademik ini juga membantu memperluas dunia pengalamannya yang turut menyumbang kebaharuan, kerencaman dan warna asli kepada penulisannya.

Zurinah Hassan dianugerahkan Darjah Setia Diraja Kedah (DSDK) sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Kedah ke-86 pada 2014. Anugerah ini membawa gelaran Datuk. Beliau diumumkan sebagai tokoh Sasterawan Negara yang ke-13 pada 13 Oktober 2015. Pemilihan Zurinah itu dibuat berdasarkan sumbangan besarnya melalui karya dan pemikirannya terhadap pengembangan sastera serta impak dalam penyebaran ilmu.

Wednesday, 25 May 2022

BUKU: Hari-hari Terakhir Seorang Seniman

 


SINOPSIS

HARI-HARI TERAKHIR SEORANG SENIMAN bukanlah sebuah cerita biasa kerana dalam kehalusan ceritanya tersirat berbagai erti tentang masyarakat dan pengalaman tokoh seniman dalam zamannya. Tokoh seniman tersebut adalah seorang penglipurlara yang hidup sebelum dan sewaktu Perang Dunia Kedua. Novel ini berkisar pada kehidupan Pak Hassan, seorang tukang cerita, yang menghadapi saat-saat hidup yang memilukan. Zaman yang berubah mengancam kedudukan dan peranan pentingnya kerana masyarakat tidak lagi meminati seni yang diwarisi, terutama generasi muda, akibat dari perubahan nilai dan kemajuan material. Perasaan dan harapan Pak Hassan menjadi bertambah pahit apabila kepandaiannya itu tidak dapat dipindahkan kepada satu-satunya anak lelakinya yang cacat akal sejak kecil.

ULASAN

Cerita ini dimulakan dengan Pak Hassan yang pergi melawat kubur isterinya yang meninggal akibat tertinggal sebahagian tembuninya dalam perut selepas melahirkan Mat Junuh. Ia juga diceritakan imbas semula pada tujuh belas tahun lalu semasa Pak Hassan mula-mula sampai dikampung tersebut. Pada perkembangan cerita, Pak Hassan si tukang penglipur lara dikatakan semakin tidak dilupai oleh orang-orang kampong ditambah pula kedatangan tentera jepun yang semakin hampir dengan kampong mereka. Cerita ini semakin rumit apabila Mat Junuh tanpa disengajakan telah mengoyakkan kulit kepala Aziz, anak kepada Ramli semasa sedang bermain permainan lanun. Senah pula telah diperkosa oleh seorang lelaki yang memakai topeng ketika hendak mengambil air sembahyang di perigi. Klimaks novel ini apabila berlakunya pergolakan jiwa dialami oleh Pak Hassan selepas kedua-dua anaknya iaitu Senah dan Mat Jusuh melarikan diri daripadanya. Kehilangan mereka membuatkan kehidupan Pak Hassan murung, sedih dan dilanda kekecewaan. Ternyata, ia amat menggangu dan menguji keimanannya untuk redha dengan ketentuan-Nya. Cerita ini berakhir apabila mayat Pak Hassan dijumpai telah mengembang oleh Paman Bahari ketika sedang memeriksa kebunnya.

Di dalam novel ini, penulis menggunakan kata-kata yang tepat dan sesuai dengan tema dan persoalan novel. Selain itu, terdapatnya banyak penggunaan monolog di dalam novel ini seperti “Kami kesepian di sini, tetapi itulah yang telah disuratkan oleh Allah, dan kami menerimanya dengan setia,”. Tambahan pula terdapat banyak  penggunaan kata kata  istana walhal dan shahadan. Perkataan jepun juga sering digunakan seperti Rajio dan kaciro wa rajio o motte iru hito dare desuka?

Antara nilai yang terdapat dalam novel ini adalah kegigihan dan keberanian berdepan dengan dugaan. Pak Hassan tetap menjalani kehidupan sebagai seorang pencerita walaupun peminatnya semakin berkurang. Seterusnya, nilai yang lain adalah kasih sayang sesama manusia Pak Hassan sayang terhadap anaknya . dia tidak pernah keluar negeri untuk berpisah dengan anaknya. Di samping itu, kerjasama adalah nilai yang seterunya. Orang kampong bergotong-royong membina petempatan untuk Pak Hassan pada tujuh belas tahun lepas.

Thursday, 19 May 2022

PENGARANG SASTERA: A. Samad Said



Abdul Samad Muhammad Said (lahir 9 April 1935) ialah seorang penulis dan penyair Malaysia. Pada Mei 1976, beliau dinamakan oleh komuniti kesusasteraan Malaysia dan banyak ahli bahasa negara sebagai Pejuang Sastera dalam dekad berikut, di Anugerah Penulis S.E.A. 1976 dan, pada tahun 1986, sebagai penghargaan tulisan dan sumbangan berterusannya kepada warisan sastera negara, atau Kesusasteraan Melayu, Sasterawan Negara. 

Kejayaan A. Samad Said sebagai sasterawan ialah hasil daripada pengalamannya dan berkat kerajinannya membaca karya-karya orang lain.  Dalam karya Samad kita melihat ketelitian dan kecermatannya sebagai pengarang.  Beliau bukan sahaja begitu cermat dan teliti menghadapi dan membentuk watak-watak, tetapi juga terhadap alam, benda hidup dan mati, yang menjadi latar ceritanya.  

Antara karya besar yang dihasilkan ialah Salina, Sungai Mengalir Lesu, Di Hadapan Pulau, Langit Petang, Hujan Pagi, Lantai T.Pinkie, Benih Semalu, Benih Harapan, Warkah Eropah, Al-Amin, Rindu Ibu dan lain-lain lagi. Karya beliau Salina telah diterjemahkan ke dalam lain-lain bahasa seperti bahasa Inggeris dan bahasa Perancis. Beberapa karya beliau juga telah diadaptasi menjadi teater atau drama pentas seperti Salina, Sungai Mengalir Lesu, Lantai T.Pinkie dan Memori di Hadapan Pulau. Keunikan, keistimewaan dan keikhlasan SN Datuk A.Samad Said berkarya sewajarnya menjadi model dan sumber inspirasi berkarya bagi generasi penulis muda masa kini.

 

Pencapaian dan sumbangan Samad Said dalam memperkaya dan meninggikan nilai kesusasteraan Melayu telah mendapat penghargaan pemerintah apabila pada 29 Mei 1976, bersama-sama beberapa pengarang lain, beliau diiktiraf sebagai Pejuang Sastera.  Tahun 1979, juga turut memberi erti kepada Samad, apabila beliau dilantik oleh Perdana Menteri sebagai salah seorang anggota panel Anugerah Sastera dan dalam tahun yang sama, beliau telah dipilih menerima Hadiah Penulisan Asia Tenggara (S.E.A. Write Awards).  Kemuncak pencapaian Samad sebagai sasterawan ialah apabila beliau dinobatkan sebagai Sasterawan Negara 1985.  Dalam majlis penganugerahan itu, telah dipentaskan sedutan drama terbaru A. Samad Said berjudul Wira Bukit.  Dalam tahun 1993, A. Samad Said menerima Anugerah ASEAN         1993 (Kategori Sastera) daripada Negara Brunei Darulsalam.

Wednesday, 11 May 2022

BUKU: Sukma Angin

 


SINOPSIS

Sukma Angin bukan sekadar riwayat sebuah kapal. Ia merakamkan keagungan bangsa Melayu dalam ritual, ilmu serta seni pertukangan, pelayaran dan perniagaan maritim. Sasterawan Negara Arena Wati dalam novel ini mengimbas keagungan lampau itu dalam hubungan Sukma Angin sebagi "kapal dagang Melayu tradisional yang terakhir". Oleh itu, novel ini meninggalkan kesan nostagia, juga rasa benci terhadap penjajah yang berhasrat untuk melumpuhkan penguasaan maritim bangsa Melayu di rantau ini. Dunia protagonis novel ini ialah dunia Melayu dan Eropah, watak yang mengerti akan agama dan budayanya, serta prihatin terhadap perjuangan kemerdekaan yang dijalin dengan begitu terperinci, indah lagi dramatik. Cakupan pemikirannya amat memikat, sehinggakan apabila protagonis saudera bernama Sukma Angin berganding dengan pelaut telah berhasil mengapungkan suatu renungan seni dan intelektual tentang budaya, sejarah dan falsafah yang segar.

Dalam kesusasteraan Melayu moden belum ada pengarang yang boleh menandingi Arena Wati dalam menggambarkan dan menghidangkan dunia pelaut sebagai cereka. Kearifan pengarang mengeksplotasi ilmu maritim ke dalam cereka menjadikan novel ini menarik dan wajar dibaca serta dihayati oleh pembaca daripada pelbagai latar belakang kehidupan.

ULASAN

Di dalam novel ini, SN Arenawati menjelaskan setiap satu komponen kapal layar, baik dari segi pemilihan kayunya sewaktu pembinaan, lubang dan sambungan kapal sewaktu pemasangan kapal layar, tiang layar dan kedudukan tertentu kapal layar sewaktu kapal ini berada di lautan dan peranan dan jiwa krew Sukma Angin sewaktu menghadapi masalah-masalah sewaktu pelayaran. Selain itu juga, SN Arenawati juga menukilkan bagaimana corak budaya masyarakat Asia Tenggara yang berada di bawah cengkaman penjajah, Belanda dan Inggeris dan kepintaran penduduk tempatan dalam menangani kerenah penjajah yang menjarah harta dan khazanah tanah air. 

Selain itu, cerita yang berlatarkan pelayaran Sukma Angin, seolah-olah membawa pembaca untuk ikut sama mengunjungi pelabuhan demi pelabuhan – dari Makasar, Sulawesi, singgah sebentar di Singapura dan Johor, melencong sekali ke Perth, Australia, sebelum meneruskan pelayaran hingga ke Durban, Afrika Selatan.

Penggunaan bahasa yang ringkas, namun masih tegar semangat kemelayuannya, menjadikan novel ini memerlukan kesabaran sebelum pembaca menemui inti yang mengikat, supaya selesai membaca novel ini sampai ke hujung. Gaya penyampaian dan ilmu yang dikongsi pengarang mampu menghidupkan semangat kebangsaan di samping meningkatkan jati diri, sebagai seorang Melayu Islam.



Friday, 6 May 2022

BUKU: Sungai Mengalir Lesu

 


Sinopsis

SUNGAI MENGALIR LESU mengisahkan kehidupan di sebuah kampung di tepi sebuah sungai di Singapura semasa pendudukan Jepun. Kisahnya penuh tragedi, penyeksaan, kebuluran, kemelaratan dan maut. Di satu pihak, Jepun mengancam mereka dengan pedang dan senapang, sementara di pihak lain Inggeris mengancam mereka dengan serangan bom dari kapal terbang. Bagaimanapun, untuk terus hidup, penduduk kampung perlu berusaha. Desakan untuk hidup membuat anak-anak mencari rezeki di dalam sungai yang kotor, orang muda menjadi penyamun dan gadis-gadis menjadi pelacur.

SUNGAI MENGALIR LESU adalah antara segelintir karya sastera yang sempat merakamkan satu fasa dekad terpenting dalam kehidupan bangsa kita. Pengalaman getir kehidupan sekumpulan manusia di sepanjang sebatang sungai turut menjadi lambang kesengsaraan umum rakyat Malaya pada zaman Perang Dunia Kedua. Kisah lara sekumpulan insan ini menunjukkan betapa durjananya kesan dan bencana perang terhadap manusia, dan betapa wajarnya kita menghindarinya daripada berulang semula. Di samping sebuah karya sastera, SUNGAI MENGALIR LESU juga sebenarnya adalah satu himpunan dokumentasi sejarah sosial yang amat berharga.

Ulasan

SUNGAI MENGALIR LESU bukanlah sebuah kisah sungai semata-mata, akan tetapi sebuah sungai yang telah banyak memakan jiwa dan nyawa manusia akibat kesempitan hidup dan pelbagai lagi kisah hidup yang mencengkam jiwa mereka. Buku ini tidaklah begitu susah untuk difahami memandangkan terdapat banyak penggunaan kata atau bahasa yang digunakan A. Samad Said yang jarang sekali untuk didengari. Melalui buku ini, A. Samad Said berjaya menggambarkan sebahagian keluarga yang menderita dalam setiap bab kemudian dikaitkan pula setiap satu keluarga dengan mereka yang lain supaya pembaca faham yang mereka ini tinggal sekampung dan saling mengenali cuma berbeza kisah mengikut penceritaan yang digambarkan oleh beliau. Buku ini banyak memberikan tauladan dan pengajaran yang dapat dipelajari oleh manusia masa kini yang dilihat lebih maju dan senang. 

Saturday, 30 April 2022

PENGARANG SASTERA: Siti Zainon Ismail





SITI ZAINON ISMAIL dilahirkan di Gombak pada 18 Disember 1949, penyair tanah air yang mempunyai riwayat yang panjang dalam bidang penulisan seni sastera, budaya dan akademik. Beliau merupakan lulusan Sekolah Menengah Aminuddin Baki (1964-1968). Di samping meminati penulisan, Siti Zainon Ismail berbakat sebagai pelukis dan pernah dididik oleh Idris Salam dan Naz Achnas. Oleh sebab cita-citanya membumbung tinggi, dalam usia 20 tahun, selepas Sijil Tinggi Pelajaran, beliau meneruskan pengajiannya di Yogyakarta, mengambil jurusan Seni Lukis di Akademi Seni Rupa Indonesia (ASRI). Beliau pernah berdampingan dengan pelukis terkenal Indonesia seperti Affandi dan lain-lain.

Siti Zainon Ismail mengibaratkan dirinya sebagai “pengembara yang tidak kenal lelah”, dia ialah cebisan mutiara yang sedikit demi sedikit menyatukan elemennya dalam perut tiram di samudera dalam. Dia tetap akan tampil dengan kelembutan dan jati diri Melayu, katanya. Dia seiringan dengan bakat seninya yang tiga dimensi; yakni seni lukis, busana (seni pakai memakai) dan kreativiti seni sastera. Dia bersatu dan bersebati secara estetika dan menyalurkan pemikiran yang berseni penuh dengan kesopanansantunan puteri Melayu. Citra seninya yang kreatif selalu menarik perhatian sarjana tempatan dan antarabangsa. Antaranya termasuklah A.Samad Said, Muhammad Haji Salleh, Kemala, Harry Aveling, Zakaria Ali dan Hashim Awang. Pada akhirnya, Siti Zainon Ismail berasa bahawa ketabahan dan kesabarannya menganyam seni , beliau dapat berseiringan dengan Muhammad Haji Salleh, A. Samad Said, Baha Zain, Ahmad Kamal Abdullah dan sasterawan berbobot yang lain.

Siti Zainon Ismail tampil dengan tiga buah novel, 10 kumpulan cerpen dan 10 antologi cerpen. Beliau sudah membuktikan bahawa dirinya sebagai penulis cerpen yang baik. Ada hubung kait yang utuh antara kerjayanya sebagai ilmuan, bidang seni dan budayanya. Hal ini diakui oleh Dr. Rosnah Baharuddin selepas mengkaji 37 buah cerita pendek Siti Zainon Ismail. Watak dan diri penulis saling mengimbangi, mencari peribadi dan erti kehadiran. Nada puitis selalu timbul di sana sini. Ceritanya menggamit pembaca untuk berfikir, bukan sebagai realism polos. Beliau membangkitkan keharuan dan keindahan yang segar dan baharu.

Wednesday, 20 April 2022

BUKU: Salina

 



SINOPSIS

Novel ini mengisahkan penduduk di Kampung Kambing yang menjadi mangsa Perang Dunia Kedua. Antara penghuni yang tinggal di kampung ini ialah Siti Salina dan kekasihnya Abdul Fakar, Hilmy dan ibunya, Katijah yang telah uzur, Zarina, seorang janda serta anak tirinya iaitu Nahidah, Mansur dan Sunarto, anak angkat arwah bapa Nahidah, serta Haji Karman dan Razman sahabat Abdul Fakar. Tempat ini digelar Kampung Kambing kerana penduduk di kampung ini tinggal di kandang kambing yang disesuaikan sedikit dengan keperluan manusia sehingga dapat disewakan kepada penduduk miskin di Singapura. Pemberi sewanya ialah seorang lelaki india yang bernama Kurupaya Samy.


Novel ini menceritakan tentang seorang perempuan yang bernama Salina iaitu seorang pelacur yang menyara dan memelihara Abdul Fakar yang malas bekerja dan sering meminta duit daripada Salina untuk pergi berjoget dan minum arak. Abdul Fakar seorang yang suka mabuk, gila perempuan dan suka memukul Salina. Walaupun di pukul, Salina tetap menyayangi Abdul Fakar kerana wajah Abdul Fakar seiras dengan wajah arwah kekasihnya yang mati dalam peperangan iaitu Muhammad Yusuf. Salina asalnya adalah anak orang kaya. Walau bagaimanapun, selepas berlakunya perang dan keluarganya terkorban, dia terpaksa menjadi pelacur untuk menyara kehidupan seharian. Hilmy, seorang remaja yang masih bersekolah sering mendapat bantuan kewangan daripada Salina untuk membeli buku dan ubat untuk ibunya yang sering sakit. Bantuan ini dilakukan tanpa pengetahuan Abdul Fakar. Ibu Hilmy, Katijah, banyak menasihati Salina supaya menyimpan wang untuk masa depan kerana Abdul Fakar tidak boleh diharapkan.


Kisah dalam novel ini juga banyak menyentuh tentang Nahidah yang dipaksa oleh ibu tirinya untuk menjadi pelayan tanpa kemahuannya. Ini disebabkan Sunarto gagal memberikan wang perbelanjaan yang cukup kepada Zarina hasil daripada menarik beca. Walaupun Sunarto sering dihalau di hadapan penduduk kampung berkali-kali, Sunarto enggan keluar daripada rumah kerana dia tidak mahu meninggalkan Nahidah yang sering di usik oleh Abdul Fakar. Abdul Fakar pernah membuat perkara sumbang terhadap Nadihah. Namun, Salina tidak mengetahuinya, begitu juga dengan Zarina, ibu tiri Nahidah. Hilmy kemudiannya jatuh cinta terhadap Nahidah semasa dia mengikuti kursus latihan tentera. Mereka jatuh cinta apabila sering berbalas surat. Hilmy meminta Nahidah membacakan surat untuk ibunya kerana ibu Hilmy buta huruf.


Persahabatan antara Nahidah dan Hilmy tidak diketahui oleh sesiapa. Dalam masa yang sama, Abdul Fakar sering mengapi-apikan Zarina supaya menghalau Sunarto keluar dari rumah itu. Dengan itu, dia lebih mudah merapati Nahidah. Sunarto ialah satu-satunya batu penghalang kepada niat buruk Abdul Fakar terhadap Nahidah. Zarina yang termakan fitnah Abdul Fakar sering menghalau Sunarto dan Mansur. Zarina menghalau Mansur, abang Nahidah kerana dia tidak mempunyai sebarang pekerjaan walaupun puas mencari. Akhirnya, Mansur lari dan memasuki tentera. Tinggallah Nahidah seorang diri di rumah itu. Satu malam, Nahidah telah diculik oleh Abdul Fakar atas arahan Encik Salim seorang buaya darat yang gilakan Nahidah. Sebelum ini Nahidah telah banyak kali menolak permintaan Encik Salim untuk duduk dipangkuannya dan melayan dia.


Pada suatu hari Nahidah telah diperkosa oleh Abdul Fakar dan selepas itu dia sering mabuk kerana kekuatan mempertahankan maruahnya tidak ada lagi. Dia kemudiannya lari meninggalkan Singapura dan tidak berapa lama kemudian berkahwin dengan seorang buruh. Hilmy sedih kerana kehilangan Nahidah. Salina pula melarikan diri ke Kelantan untuk melupakan Abdul Fakar kerana Abdul Fakar telah menghalaunya keluar dari rumah sedangkan rumah itu adalah rumah Salina. Abdul Fakar gilakan seorang perempuan joget. Ibu Hilmy meninggal dunia akibat sakit. Hilmy pula tidak menyambung pelajaran kerana ketiadaan wang . Tidak lama kemudian, Hilmy cuba menjejaki Salina di Kuala Lumpur tapi diberitahu oleh Mansur yang Salina sudah pulang ke Singapura. Abdul Fakar belayar kembali kerana dia gagal mencari Salina. Dia baru mengetahui bahawa Salina betul-betul sayangkan dia setelah di tipu oleh perempuan joget. Hilmy kembali ke Singapura untuk bertemu Salina.



Saturday, 16 April 2022

PENGARANG SASTERA: Keris Mas

 



Keris Mas atau nama sebenarnya ialah Kamaluddin Muhamad merupakan seorang Sasterawan Negara Malaysia 1981. Beliau merupakan seorang wartawan, editor, pentadbir sastera, sasterawan dan pengkritik. Dilahirkan di Kampung Ketari, Bentong, Pahang pada 10 Jun 1922. Beliau menerima pendidikan di Sekolah Melayu Bentong, Sekolah Tawalib di Sumatera iaitu sebuah sekolah menengah dengan pengantar bahasa Indonesia dan bahasa Arab. Seterusnya, beliau menyambung pelajaran di Kolej Kulliahtul Muallimin Al-Islamiah, Sumatera (Maktab Perguruan Islam). Kemudian, beliau melanjutkan pelajaran di Pitman College, Singapura (1940) untuk mengambil peperiksaan matrikulasi di Universiti London. Namun, pengajiannya terhalang kerana Perang Dunia Kedua meletus. 

Novel beliau yang pertama ialah Pahlawan Rimba Malaya diterbitkan pada tahun 1976. Setahun kemudian, beliau menulis sebuah cerpen perjuangan "Darah dan Air Mata" telah tersiar dalam majalah Kenchana. Keris Mas adalah antara tokoh penting, malah tokoh yang memimpin Angkatan Sasterawan 50 atau ASAS 50 yang mendukung kuat faham “Seni untuk Masyarakat” dan turut memberi isi dan arah seperti terlihat dalam Memoranda ASAS 50 yang membentangkan cita-cita dan perjuangan pertubuhan itu.

Keris Mas telah menghasilkan kira-kira 60 buah cerpen yang mengemukakan berbagai-bagai persoalan, daripada soal cinta, kepincangan masyarakat, perjuangan kebangsaan, kisah darurat hinggalah kepada persoalan-persoalannya sosial-politik sesudah merdeka.  Semua persoalan tersebut merupakan pemerhatian dan pantulan kembali pengalaman-pengalaman Keris Mas sejak tahun 1940-an hinggalah sesudah Tanah Melayu mencapai kemerdekaan dalam tahun 1957.

Antara penghargaan yang diberikan kepada beliau ialah dipilih sebagai penulis Tamu Dewan Bahasa dan Pustaka selama setahun (1 Julai 1977 - 30 September 1978). Pada tahun 1985-1986, beliau sekali lagi dilantik sebagai penulis Tamu DBP. Beliau turut menerima 'Anugerah Pejuang Sastera' dan membawa pulang RM10,000, watikah daripada Perdana Menteri Malaysia ketika itu, Tun Hussein Onn pada 29 Mei 1976. Perdana Menteri melantik beliau sebagai Setiausaha Panel Hadiah Karya Sastera (1971–1976), dan anggota Panel Anugerah Sastera Negara 1979. Beliau penerima Anugerah Sastera Negara yang pertama (1981). Selain itu, Keris Mas dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Persuratan oleh Universiti Sains Malaysia pada 5 Ogos 1989. 

Demikianlah Keris Mas yang pada mulanya diharapkan oleh keluarganya untuk menjadi guru agama sebaliknya menjadi seorang sasterawan.  Sebagai penulis kreatif pentadbir dan pengurus sastera, Keris Mas telah memberikan sumbangan yang penting dan bererti dalam perkembangan sastera Melayu baru. 



Friday, 8 April 2022

PENGARANG SASTERA : Usman Awang


Nama Usman Awang tidak asing lagi dalam dunia kesusasteraan tempatan. Usman lahir di Kampung Tanjung Lembu, Kuala Sedili, Kota Tinggi, Johor, pada 12 Julai 1929. Beliau diberi nama Wan Osman Wan Awang tetapi menukar nama penanya ke Usman Awang. Usman Awang mula membentuk namanya dalam dunia persuratan Melayu Moden dengan menulis sajak. Sajak-sajaknya sentiasa segar, kukuh serta akrab dengan akar budi Melayu dan perikemanusiaan. Beberapa buah sajaknya menjadi bahan yang amat menarik. Bukan sahaja di kalangan masyarakat terbanyak yang cintakan puisinya tetapi menjadi mainan bibir di kalangan anak-anak sekolah pada waktu itu dalam sebarang upacara mendeklamasi sajak. Antara sajaknya yang cukup popular adalah “Pak Utih”, “Ke Makam Bonda”, “Nasib Buruh”, “Bunga Popi”, “Gadis Di Kuburan”, dan “Salam Benua”.

Usman adalah antara penyair Melayu yang berhasil mengekalkan semangat dan harmoni pantun dalam puisi-puisinya walaupun dengan melonggarkan beberapa ikatan yang konvensional.  Beliau menggunakan kata-kata biasa dalam penulisannya dan pintar menjalin kata-kata itu hingga menjadi begitu indah dan berkesan tanpa melemahkan makna yang hendak disampaikan.  Inilah antara keistimewaan Usman Awang.

Usman Awang juga menulis cerpen tetapi bidang ini nampaknya sudah lama ditinggalkannya sejak akhir tahun 1960-an lagi.  Cerpen yang banyak dihasilkan dalam tahun-tahun 1950-an dan 1960-an lebih banyak memperlihatkan sikap dan pegangannya yang lebih ketara terhadap konsep “Seni untuk Masyarakat” yang didukungnya sebagai anggota ASAS 50.  Maka itu apa yang terlihat dalam cerpen-cerpennya hanyalah berupa rakaman pengalaman, pergaulan dan pemerhatian serta pemikiran untuk mendedahkan segala kejelikan dan keburukan serta kepincangan hidup dalam masyarakat Melayu khususnya.  Dalam pada itu, beliau tidak juga terlepas daripada memperlihatkan pandangan seorang anak muda yang berjiwa romantis dan idealis.  Degup Jantung adalah satu-satunya kumpulan cerpennya setakat ini.

Sepanjang kehidupannya sebagai seorang penulis karya sastera, beliau telah banyak menerima pelbagai anugerah. Pada tahun 1982, Usman Awang telah terpilih menerima S.E.A Write Awards. Kemudian, beliau telah dianugerahi Ijazah Doktor Kehormat (Persuratan) oleh Universiti Malaya pada 11 Ogos 1983. Pada tahun 1983, beliau juga adalah penerima Anugerah Sastera Negara. Pada tahun 1985, Usman telah dianugerahi kategori Penulis Terkenal (Veteran) oleh Akhbar Berita Harian. Bagi menghargai sumbangan beliau dalam bidang sastera, Usman Awang telah dianugerahi gelaran kebesaran Dato' Paduka Mahkota Perak oleh DYMM Sultan Azlan Shah yang membawa gelaran Dato' pada tahun 1991. 


 

Saturday, 2 April 2022

BUKU: Di Bawah Lindungan Ka'abah

SINOPSIS

Hamid adalah seorang anak yatim dan miskin. Dia kemudian diangkat oleh keluarga Haji Jafar yang kaya-raya. Hamid dianggap sebagai anak mereka sendiri, Mereka sangat menyayanginya sebab Hamid sangat rajin, sopan, berbudi, serta taat beragama.


Hamid sangat menyayangi Zainab. Begitu pula dengan Zainab. Ketika keduanya beranjak remaja, dalam hati masing-masing mulai tumbuh perasaan lain. Suatu perasaan yang selama ini belum pernah mereka rasakan. Hamid merasakan bahwa rasa kasih sayang yang muncul terhadap Zainab melebihi rasa sayang kepada adik, seperti yang selama ini dia rasakan. Zainab juga ternyata mempuanyai perasaan yang sama seperti perasaan Hamid.

Hamid tidak berani mengutarakan isi hatinya kepada Zainab sebab dia menyadari bahwa di antara mereka terdapat jurang pemisah yang sangat dalam. Zainab merupakan anak orang terkaya dan terpandang, sedangkan dia hanyalah berasal dari keluarga biasa dan miskin. Jurang pemisah itu semakin dalam. Dalam waktu bersamaan, Hamid mengalami peristiwa yang sangat menyayat hatinya. Mulai dari meninggalnya Haji Jafar hingga puncak kepedihan hatinya ketika mamaknya, Asiah, mengatakan kepadanya bahwa Zainab akan dijodohkan dengan pemuda lain, yang masih famili dekat dengan almarhum suaminya. Bahklan, Mak Asiah meminta Hamid untuk memujuk Zainab agar hendak menerima pemuda pilihannya. Hamid terpaksa menurutinya.
Hamid memutuskan untuk pergi meninggalkan kampungnya. Dia meninggalkan Zainab dan dengan diam-diam pergi ke Medan . Sesampainya di Medan, dia menulis surat kepada Zainab. Dalam suratnya, dia mencurahkan isi hatinya kepada Zainab. Menerima surat itu, Zainab sangat terpukul dan sedih. Dari Medan, Hamid melanjutkan perjalanan menuju ke Singapura. Kemudian, dia pergi ke tanah suci Mekah.
Ketika musim haji, banyak tamu menginap di tempat dia bekerja. Di antara para tamu yang hendak menunaikan ibadah haji, dia melihat Saleh, teman sekampungnya.. Dia mendapat banyak berita tentang kampungnya termasuk keadaan Zainab. Dari penuturan Saleh, Hamid mengetahui bahawa Zainab juga mencintainya. Sejak kepergian Hamid, Zainab sering sakit-sakitan. dia tidak jadi menikah dengan pemuda pilihan emaknya. Namun pada akhirnya Zainab wafat akibat penyakitnya. Kesedihan dan sakit menghampiri Hamid. Ia menutup mata selamanya setelah meanjatkan doa sambil memegang kiswah.


Friday, 25 March 2022

BUKU: Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck



SINOPSIS

Kisah ini menceritakan seorang pemuda kacukan Mengkasar-Minang bernama Zainuddin yang tidak diterima oleh penduduk setempat setlah kematian ibu bapanya kerana perkahwinan campur mereka. Zainuddin dibesarkan oleh Mamaknya. Setelah meningkat dewasa, Zainuddin bercadang untuk kembali ke kampung bapanya untuk mencari usulnya walaupun dihalang keras oleh Mamaknya. Maka, berlayarlah Zainuddin ke Padang Panjang iaitu tanah usulnya.


Walaupun kedatangan Zainuddin ke Padang Panjang diraikan tetapi penerimaannya tidak sepenuhnya. Hal ini kerana adat Minangkabau yang lebih mementingkan belah perempuan. Memandangkan pula ibu Zainuddin daripada keturunan Bugis.

Akibatnya, Zainuddin agaklah kecewa dengan penerimaan ke atasnya oleh daging dagingnya di Padang Panjang. Namun, kecewanya itu terubat dengan kehadiran Hayati. Seorang yang berpelajaran agama dan baik pekertinya. Mereka mula berkawan dan akhirnya Zainuddin mengatakan rasa cintanya kepada Hayati. Pada peringkat awal Hayati menolak tetapi akhirnya di menerima disebabkan tidak dapat menolak rasa cintanya kepada Zainuddin.

Konflik mula berlaku apabila percintaan Zainuddin dan Hayati diketahui ayah Hayati. Ayah Hayati tak bersetuju dan meminta Zainuddin untuk berpindah keluar daripada Padang Panjang dengan Hayati pula dikurung di rumah. Akhirnya Zainuddin akur juga. Dia kemudiannya mengambil keputusan untuk berpindah ke Batipuh. Tetapi sebelum itu antara dia dan Hayati berikrar untuk tetap bersama walaupun jasad masing-masing berada jauh.

Semasa di Batipuh masing-masing berutus surat hinggalah satu masa Hayati berangkat ke Batipuh untuk menemui sahabat karibnya Khadijah. Sampai di Batipuh, Hayati ditimpa kejutan budaya akibat daripada pengaruh Khadijah. Khadijah dilihat sebagai watak yang agak urban dengan ciri-ciri kebaratan. Akhirnya, Zainuddin dan Hayati ditemukan semula dalam sebuah pesta. Semasa pertemuan itu Zainuddin diperkecilkan oleh Khadijah dengan mengatakan Zainuddin agak kekampungan. Kata-kata itu kemudiannya termakan oleh Khadijah.

Cinta Khadijah kepada Zainuddin walaupun masih ada tetapi mula tergugah terutama apabila mendengar dakyah Khadijah bahawa perhubungan lelaki perempuan itu hanya akan hidup dengan wang. Beza dengan prinsip Zainuddin yang mengatakan bahawa perhubungan lelaki dan perempuan itu hanya akan kekal dengan cinta.

Dipendekkan cerita, Khadijah mula memasang hajat untuk menjadikan Hayati sebagai kakak iparnya iaitu isteri kepada abangnya iaitu Aziz. Aziz pun ikut tertarik dengan kecantikan Hayati. Maka rombongan meminang dihantar untuk meminta Hayati. Dalam masa yang Zainuddin juga tidak mahu kalah. Dia ikut meminang tapi kaedahnya dengan menggunakan surat.

Akhirnya, pinangan yang dipilih adalah pinangan Aziz. Beberapa faktor yang menyebabkan Aziz dipilih antaranya faktor kewangan, keturunan dan cara Zainuddin menyampaikan pinangannya yang dilihat tidak sesuai dengan adat Minangkabau. Hayati pun sekadar bersetuju tidak melawan kepada padanya ketika ini sebuah perhubungan akan berjaya hanya dengan duit.

Zainuddin kecewa hingga menyebabkan psikologi dan fizikalnya tidak stabil. Badanya mula susut dan dia kemudiannya sakit. Ketika ini dia tinggal dengan seorang wanita dan anak lelakinya bernama Muluk. Lama selepas itu, Zainuddin berusaha juga melawan perasaannya. Di samping itu juga, Zainuddin mendapat kata semangat daripada Muluk yang walaupun tak ada asas agama tapi kata-katanya sangat memberi kesan kepada Zainuddin.

Zainuddin bangkit kembali. Kali ini untuk mengejar cita-citanya untuk menjadi seniman. Ditemani oleh Muluk, Zainuddin kemudiannya berpindah ke Jakarta. Disitu Zainuddin berjaya menempa nama sebagai seorang seniman yang berjaya. Baik dalam penulisan mahupun dalam pementasan.

Zainuddin kemudiannya sekali lagi berpindah ke Surabaya untuk membuka syarikat sendiri. Dalam masa yang sama Aziz dan Hayati juga berpindah ke Jakarta. Dipendekkan cerita sekali lagi, bertemulah kembali Zainuddin dengan Hayati dan Aziz.

Mereka kemudiannya berkawan baik disana memandangkan Zainuddin telah berjaya menempa nama di sana. Namun cinta Zainuddin kepada Hayati tidak pernah surut tapi bezanya sekarang, Zainuddin lebih mahir mengawal perasaanya.

Hinggalah satu masa, Aziz bertukar perangai iaitu kembali kepada perangai asalnya dulu iaitu suka keluar dengan perempuan lain dan berjudi. Sampai satu tahap Aziz meminjam wang daripada Zainuddin akibat kehabisan duit.

Akhirnya, Aziz mengambil keputusan untuk membunuh diri setelah dia berasa kecewa dengan dirinya sendiri yang tidak lagi mampu bertanggungjawab ke atas Hayati. Hayati cuba untuk kembali pada Zainuddin. Namun, adakah Zainuddin menerimanya kembali? Jadi, anda sendiri harus membaca sebuah karya yang cukup mengagumkan.

ULASAN

Secara keseluruhan, bagi aku kisah ini sangat menarik! Tetatpi pada orang lain aku tidak tahu memandang menarik atau tidak itu satu subjektif. Kisah ini mungkin kisah cinta seperti novel-novel lain tapi gaya penceritaannya begitu mendalam dan tidak klise seperti novel cinta yang lain.

Cara penulis menerangkan jalan cerita juga begitu teratur dan mudah difahami. Pelbagai elemen penulisan diterapkan dengan ayat yang digarap gramatis. 

Aku suka cara Hamka mengkrititik sosialis pada masa itu. Bagaimana sifat dikriminasi yang begitu tinggi dalam masyarkat penduduk setempat di Indonesia serta wang dan keturunan mempengaruhi kehidupan mereka.

Perwatakan Zainuddin dan Hayati memainkan peranan yang sangat penting dalam kisah ini. Percintaan antara perempuan dengan lelaki yang terhalang akibat kekurangan seseorang yang tidak punya nama dan keturunan yang jelas dan menjadikan wang sebagai alasan cinta sejati itu wujud sedangkan perasaan itu timbul kerana sifat tamak individu itu sendiri.

Itu sahaja ulasan tentang buku kali ini. Jika diberi kesempatan, aku akan mengulas lagi buku-buku sastera yang sempat dibaca.